Apa Yang Kami Bangunkan
Portal TanyaKerajaan membolehkan rakyat bertanya dan mendapatkan jawapan mengenai maklumat rasmi Kerajaan Malaysia melalui satu gerbang tanya jawab bersepadu yang berasaskan agentik AI.
Portal ini menyediakan pengalaman pertanyaan yang mudah, pantas, bersumberkan maklumat rasmi dan mudah difahami melalui ciri seperti pertanyaan dalam bahasa harian, ringkasan pintar dan soalan kerap ditanya (FAQ) yang paling popular.
Ketika ini, TanyaKerajaan menyokong interaksi dalam format tanya dan jawab. Keupayaan ini akan diperluas secara berperingkat kepada bot sembang dengan ciri agentik AI yang dapat memahami konteks perbualan, membimbing pengguna dan membantu mereka melaksanakan tugasan berkaitan perkhidmatan kerajaan.
Siapa Bangunkan?
Portal ini dibangunkan secara dalaman sepenuhnya oleh GovTech Malaysia, Kementerian Digital. Ia masih dalam peringkat pembangunan dan akan dilancarkan pada Disember 2026.
Mengapa Kami Bangunkan
Portal ini dibangunkan bagi menangani ketiadaan gerbang pertanyaan bersepadu yang menyebabkan capaian rakyat kepada maklumat rasmi kerajaan masih terikat kepada struktur agensi, portal dan saluran yang berasingan.
TanyaKerajaan boleh membantu rakyat mencari maklumat, panduan dan pautan rasmi perkhidmatan kerajaan berkaitan:
- Bantuan rakyat dan kebajikan
- Pendidikan, biasiswa dan penjagaan anak
- Pekerjaan, latihan dan hak pekerja
- Kesihatan dan bantuan perubatan
- Kad pengenalan, kelahiran dan pasport
- Perkahwinan, perceraian dan keluarga
- Kewangan, cukai dan perumahan
- Saman, lesen memandu dan subsidi
- Persaraan, veteran dan pusaka
- Pelancongan, sukarelawan dan aduan kerajaan
- Maklumat cawangan klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), cawangan Urban Transformation Centre (UTC) dan cawangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
Rakyat boleh bertanya tentang syarat kelayakan, dokumen diperlukan, langkah permohonan dan saluran untuk meneruskan urusan. TanyaKerajaan menyediakan maklumat permohonan, semakan dan pembayaran yang boleh dibuat melalui portal atau agensi berkaitan.
Maklumat lain yang berkaitan adalah maklumat pengurusan tertinggi Kerajaan Malaysia, maklumat direktori perhubungan dan profil ringkas Kementerian Digital (KD) dan Jabatan Digital Negara (JDN).
Maklumat berkaitan pekeliling, garis panduan dan dokumen rujukan rasmi kerajaan akan ditambah secara berperingkat bagi memperluas skop maklumat yang boleh dicapai melalui TanyaKerajaan.
Apa Yang Kami Hasratkan
Mentransformasikan Portal TanyaKerajaan daripada platform tanya dan jawab pintar kepada persona digital interaktif Kerajaan Malaysia yang berperanan sebagai pembantu maya bagi rakyat mengakses maklumat dan perkhidmatan digital kerajaan secara lebih lancar dan bersepadu.